Thursday, April 12, 2012

Bukti wujudnya Allah

Saya pernah ditanya oleh seorang pelajar “ustazah, ada kawan saya cakap, sebenarnya Allah itu adalah nama ciptaan manusia dan bukannya benar-benar ada! Apa pandangan ustazah??..terdiam sejenak saya apabila ditanya dengan pertanyaan sebegitu…jauh dari sudut hati saya beristighfar panjang…Masih adakah manusia yang tidak mengenal tuhannya? yang masih ragu-ragu adanya Tuhan?

Mungkin kita merasa pelik dengan persoalan sebegitu. tetapi hakikatnya memang ada manusia yang bergelar muslim masih belum mengenal siapa penciptanya. Masih bertanya dimanakah tuhannya?. Adakah Tuhannya benar-benar wujud atau bagaimana? Na’uzubillah.

Wahai adik-adik ku, sungguh Allah itu benar-benar wujud! Manakan mungkin tiada pencipta (Allah) sedangkan alam ini tersedia dengan segala kelengkapannya. Sedangkan sebuah mesin basuh yang tidak begitu complicated pun ada penciptanya iaitu manusia. Firman Allah s.w.t: “Dan diantara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak)” (Surah Ar-Rum: 30: 20).

Saya ada satu analogi yang best untuk dikongsikan. Hah, nak tahu ape? Pernah tak kita melihat arus elektrik? Pasti anda akan menjawab “tidak!” bukan? Hurmm. Jadi apa yang membuktikan adanya arus elektrik? Mari kita perhatikan sekeliling kita. Nampak tak lampu yang menyala? kipas yang berpusing? air cond yang menyejuk? Hah, bukankah itu tanda adanya arus elektrik!. Adakah kita menyakininya? Pasti anda menjawab “Ya!”. Kalau tidak, mana mungkin kipas, lampu, aircond dan perkakas elektrik yang lain boleh digunakan!.

Begitulah juga dengan Tuhan kita iaitu Allah. Dia wujud tapi tidak terlihat dek pancaindera kita yang sangat lemah. Tapi apa bukti adanya Allah? iaitu dengan wujudnya alam semesta ini yang begitu luas dan indah. Mari kita pandang sekeliling kita. Apa yang kita lihat? Cantik bukan alam ciptaan Allah!. Ada matahari, ada awan, pelbagai jenis pokok, haiwan-haiwan yang melata (seperti semut), laut, sungai yang mengalir, batu-batu pelbagai bentuk dan macam-macam lagi. Itulah bukti adanya Allah.
Masih mahu menafikan lagi?

Perhatikan Jasad kita

Mari kita merenung dan memperhatikan setiap anggota tubuh badan kita. Subhanallah! sangat hebat ciptaan Allah yang menciptakan setiap anggota dengan fungsinya. Mari kita lihat jari jemari kita. Apa yang anda lihat? Adanya kuku, kulit, sendi-sendi yang boleh membengkok serta jari-jemari yang tidak sama panjangnya. Subhanallah, cantik bukan! Pernah tak kita berfikir mengapa Allah menciptakan jari jemari kita tidak sama panjang?

Jom kita bayangkan jari jemari kita sama panjang seperti jari yang paling tengah atau jari hantu. Bayangkan yang didepan anda ada nasi dan cuba anda makan makanan tersebut dalam keadaan jari yang sebegitu. Adakah kita dapat makan dengan baik? Pasti anda akan katakan “macam mana nak makan dengan jari macam tu!. Terkeluarlah nasi-nasi! susah nak makan”. Nah, nampak bukan hikmatnya!

Mari kita lihat pula kuku kita. Pernah tidak anda terfikir bagaimana semakin hari semakin panjang kuku kita. Jika dilihat dari luar, tiada pun suatu tempat yang disediakan untuk menyimpan kuku. Kalau kita cabut kuku kita, pasti kuku kita hanya sebesar kuku yang tampak dari luar. Tapi bagaimana ia semakin memanjang? Subhanallah! Semuanya adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah dalam menciptakan sesuatu.

Firman Allah s.w.t: “Dan pada penciptaan dirimu dan pada makhluk yang bergerak yang bernyawa yang bertebaran (di bumi) terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) untuk kaum yang meyakini” Surah al-Jasiyah: 45: 4). Masih adakah pertikaian kita terhadap kewujudan Allah? Hanya yang meyakini ayat-ayat Allah dan sentiasa memerhatikan ciptaan Allah sahaja dapat merasakan kewujudan Allah.

Duduk Sejenak Mengingati Allah

Mari sahabatku, kita duduk sejenak mengingati Allah, merasakan kekuasaan Allah, merasakan dekatnya Allah. Bagaimana?! Perhatikanlah alam ciptaan-Nya. Di sana pasti kita akan menemukan pelbagai keindahan dan keseimbangan dari alam ciptaanNya. Di sana juga kita akan mula mengenali Tuhan kita yang mungkin kita lupakan sebelum ini dek kesibukan dunia.

Moga Allah memberikan hidayah kepada mereka yang meragukan wujudnya. Allah bukanlah ciptaan manusia, tetapi dia benar-benar wujud dalam jiwa orang-orang yang beriman kepada Allah dan sentiasa mencari kebenaran tentang Tuhannya.
Wallahu’alam.